Sunday, 11 August 2013




Kebolehan Ingin Membantu:
Kadang kala ada anak rajin hendak menolong melakukan kerja-kerja rumah. Jangan halang keinginan anak kerana dia telah menunjukkan ciri-ciri ‘ringan tulang’ yang sepatutnya diberi sokongan. Biarpun kerja yang dilakukan kadang kala perlu dibereskan semula oleh papa dan mama tetapi keinginan mereka menolong patut dipuji. Kepada ibu bapa yang anak-anak masih liat membantu, apa kata ajak mereka bersama-sama membantu tugas-tugas di rumah.
Panduan berikut mungkin membantu:

1- Senaraikan tugasan- ajak si manja anda dan ceritakan tentang tugas kediaman. Ajaklah si manja anda berbincang. Terangkan kepadanya sudah tiba masa untuk dia membantu ibu bapa melunaskan tugas di kediaman.

2- Beri dia kebebasan- kepada si comel untuk memilih tugasan yang disukainya. Elakkan daripada memaksa dan biar dia melakukan dengan rela hati. Kekerapan sekali seminggu atau empat kali sebulan pastinya tidak membebankan. Penerangan anda amat penting supaya anak anda memahami tugas yang perlu dilunaskan olehnya.

3- Hadkan penggunaan gajet berbahaya- Penggunaan peralatan yang tajam seperti gunting dan pisau juga perlu dielakkan pada usia ini. Jika perlu menggunakan peralatan seperti penyiram pokok atau penyapu, anda boleh melatih mereka terlebih dahulu teknik penggunaan yang betul. Penerangan dan demonstrasi menerusi langkah demi langkah dapat mengelakkan kecederaan yang tidak diingini.

4- Berikan tempoh masa yang sesuai- Tugas ini memerlukan komitmen bersama. Ibu bapa perlu berikan tempoh yang sesuai dan memastikan perlaksanaan tugas-tugas membersihkan dan mengemas ini tidak mengganggu jadual harian si manja. Jangan pula ponteng aktiviti mingguan mereka seperti kelas berenang atau kelas seni mempertahankan diri dek kerana kerja rumah yang perlu disiapkan.

5- Berikan panduan dan penerangan secara praktikal - Awas ibu bapa semua! Berikan kepada anak-anak secukupnya sebelum membiarkan mereka melakukan sendiri tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan ini agar matlamat mendapatkan kediaman bersih dan kemas tercapai. Pada peringkat usia ini, anak anda sudah boleh memahami langkah-langkah mudah.